Wednesday, February 22

Sa'id bin Amir al-Jumahiy



Gabenor Sai'd.

Pada suatu hari, Amirul Mukminin 'Umar memanggil Sa'id bin Amir al-Jumahiy dan melantik beliau sebagai Gabenor di Hims. Sesudah pelantikannya, 'Umar bertanya kepada Sa'id, "Berapa gaji yang engkau inginkan?"

"Apa yang harus aku perbuat dengan gaji itu, wahai Amirul Mukminin?" kata Sa'id. "Bukankah pendapatanku dari Baitul Mal sudah mencukupi?"

Tidak berapa lama setelah Sa'id memerintah di Hims, sebuah delegasi datang menghadap Khalifah 'Umar di Madinah. Delegasi itu terdiri dari penduduk Hims yang ditugaskan Khalifah mengamat-amati urusan pemerintahan di Hims.

Dalam pertemuan dengan delegasi tersebut, Khalifah 'Umar meminta daftar fakir miskin Hims untuk diberikan bantuan. Delegasi mengemukakan daftar yang diminta Khalifah. Di dalam daftar tersebut terdapat beberapa nama, termasuk salah seorang yang bernama Sa'id bin 'Amir al-Jumahiy.

Ketika khalifah meneliti daftar tersebut, beliau lalu bertanya: "Siapa Sa'id bin Amir yang kamu kemukakan namanya ini?"

"Itulah Gabenor kami!" jawab mereka.

"Betulkah gabenor kalian miskin?" tanya khalifah kehairanan.

"Ya, benar, wahai Amirul Mukminin! Demi Allah! Seringkali di rumahnya tidak kelihatan tanda-tanda dapur berasap," jawab mereka meyakinkan.

Mendengar kata-kata itu, Khalifah 'Umar menangis, sehingga air matanya meleleh membasahi janggutnya. Kemudian beliau mengambil sebuah uncang berisi wang seribu dinar.

"Kembalilah kalian ke Hims. Sampaikan salamku kepada Gabenor Sa'id bin Amir. Wang ini aku kirimkan untuk beliau guna meringankan urusan rumah tangganya" ucap 'Umar sedih.

Setibanya di Hims, delegasi itu segera menemui Gabenor Sa'id, bagi menyampaikan salam dan wang kiriman Khalifah untuknya. Setelah Gabenor Sa'id melihat uncang berisi wang dinar, uncang itu dijauhkannya dari sisinya seraya mengucap, "inna lilLahi wa inna ilayhi raji'un."

Mendengar ucapannya itu, seolah-olah suatu mara bahaya sedang menimpanya. Isterinya segera menghampiri seraya bertanya, "Apa yang sudah terjadi, wahai Sa'id? Meninggalkah Amirul Mukminin?"

"Bahkan lebih besar daripada itu!" jawab Sa'id sedih. "Apakah tentera Islam kalah berperang?" tanya isterinya lagi.

"Jauh lebih besar dari itu!" jawab Sa'id tetap sedih. "Apa pula gerangan berita yang lebih dahsyat daripada itu?" tanya isterinya tidak sabar.

"Dunia telah datang untuk merosakkan akhiratku. Bencana telah menyusup ke rumah tangga kita," jawab Sa'id tegas.

"Bebaskan dirimu daripadanya!" kata isteri Sa'id memberi semangat, tanpa mengetahui perihal adanya uncang wang yang dikirimkan Khalifah 'Umar untuk kegunaan peribadi suaminya.

"Mahukah engkau menolongku berbuat demikian?" tanya Sa'id.

"Sudah tentu...!" jawab isterinya bersemangat.

Maka Sa'id mengambil uncang wang itu, lalu disuruh isterinya membahagi-bahagikan kepada fakir miskin.


Kunjungan Khalifah 'Umar ke Hims.

Tidak berapa lama kemudian, Khalifah 'Umar berkunjung ke Sham bagi memeriksa perjalanan pemerintahan di sana. Dalam kunjungannya itu, beliau mengambil kesempatan singgah di Hims. Kota Hims pada masa itu dikenali sebagai "Kuwayfah (Kufah kecil)" kerana rakyatnya seringa melapor kepada pemerintah pusat tentang kelemahan-kelemahan Gabenor mereka, sama seperti yang dilakukan penduduk Kufah.

Tatkala Khalifah singgah di sana, rakyat mengalu-alukan kedatangan beliau. Khalifah bertanya kepada rakyat, "Apa pandangan kamu terhadap Gabenor kamu?"

"Ada empat macam kelemahan yang hendak kami laporkan kepada Khalifah," jawab rakyat.

"Kalau begitu, aku akan pertemukan kamu semua dengan Gabenor kamu," jawab Khalifah 'Umar sambil berdoa: "Semoga sangka baik aku selama ini kepada Sa'id bin Amir tidak salah."

Maka tatkala semua pihak iaitu Gabenor dan orang ramai semuanya sudah berada di hadapan Khalifah, beliau bertanya kepada orang ramai, "Apa yang tuan-tuan hendak laporkan tentang Gabenor tuan-tuan?"

Pertanyaan Khalifah dijawab oleh seorang wakil.

Katanya: "Gabenor selalu tiba di pejabat setelah matahari meninggi."

"Apa jawapanmu, wahai Sa'id?" tanya Khalifah.

Gabenor Sa'id terdiam sejenak. Kemudian beliau menerangkan: "Sesungguhnya aku keberatan menjawabnya. Tetapi apa boleh buat, aku tidak mengelak daripada memberi penjelasan. Keluargaku tidak mempunyai pembantu. Setiap pagi aku terpaksa menguli roti terlebih dahulu untuk mereka. Sesudah kerja menguli siap, barulah aku buat roti. Kemudian aku berwudhu'. Sesudah itu barulah aku ke pejabat menguruskan urusan orang ramai."

"Apa lagi laporan tuan-tuan?" tanya Khalifah kepada hadirin.

Kata mereka: "Gabenor kami tidak suka melayani kami pada waktu malam."

"Apa pula jawapanmu, wahai Sa'id?" tanya Khalifah.

"Hal ini juga amat berat bagiku untuk bercerita tentangnya," kata Sa'id. " Aku telah membahagikan waktuku, pada siangnya untuk orang ramai, manakala pada malam hari untuk Allah 'Azza wa Jalla," kata Sa'id.

"Apa lagi?" tanya Khalifah kepada hadirin.

"Gabenor tidak masuk ke pejabat sehari penuh dalam sebulan," adu mereka.

"Apa pula jawapanmu, wahai Sa'id?" tanya Khalifah.

"Tadi sudah aku terangkan. Aku tidak mempunyai pembantu, wahai Amirul Mukminin. Aku tidak mempunya pakaian kecuali yang melekat di badanku ini. Aku mencucinya sebulan sekali. Apabila aku mencucinya, aku terpaksa menunggu sehingga kering terlebih dahulu. Sesudah itu barulah aku dapat keluar berurusan dengan orang ramai," kata Sa'id.

"Ada lagi yang hendak dilaporkan?" tanya Khalifah.

"Sewaktu Gabenor selesai berucap, kebiasaannya beliau segera meninggalkan majlis."

"Kenapa begitu wahai Sa'id?" tanya Khalifah.

"Ketika aku masih musyrik dulu, aku pernah menyaksikan Khubayb bin 'Adiy dihukum mati oleh kaum Quraisy kafir. Aku lihat mereka menyeksa tubuhnya sambil bertanya: "Sukakah engkau jika Muhammad menggantikan tempatmu, kemudian engkau dibebaskan?"

Khubayb menjawab, "Aku tidak ingin bersenang-senang dengan isteri dan anak-anak, dalam keadaan Muhammad tertusuk duri..."

"Demi Allah...!" kata Sa'id. "Jika aku teringat akan peristiwa itu, aku rasa bersalah kerana tidak dapat membelanya. Aku takut dosaku tidak diampunkan Allah... Peristiwa itu benar-benar menguasai fikiranku!"

"Segala pujian bagi Allah yang tidak mengecewakanku," kata Khalifah 'Umar mengakhiri dialog itu.


Kiriman seribu dinar.

Sekembalinya ke Madinah, Khalifah 'Umar mengirimkan kepada Gabenor Sa'id seribu dinar untuk kegunaannya. Melihat wang sebanyak itu, isterinya berkata kepada Sa'id, "Segala pujian bagi Allah yang mencukupi kita hasil khidmatmu. Aku ingin menggunakan wang ini untuk membeli keperluan rumah dan menggaji seorang pembantu untuk kita."

"Tiada cadangan lain yang lebih baik daripada itu?" tanya Sa'id kepada isterinya.

"Apa cadangannya?" isterinya bertanya balik.

"Kitaa bahagi-bahagikan saja wang ini kepada orang ramai yang memerlukannya. Itu adalah yang lebih baik bagi kita," jawab Sa'id.


Semoga Sa'id bin Amir al-Jumahiy sentiasa beroleh keredhaan Allah. Sesungguhnya beliau lebih mengutamakan orang lain daripada dirinya sendiri, walaupun ia amat memerlukan apa yang ia sumbangkan itu.


Thursday, February 16

Demi MASA-manusia RUGI

"Masa itu umpama pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu."


بسم الله الرحمن الرحيم

Daripada Ibn Abbas ra katanya, Rasulullah SAW bersabda: "2 nikmat yang seringkali dirugikan oleh kebanyakan manusia ialah kesihatan dan masa lapang."

2 nikmat ni (kesihatan dan masa lapang) telah di-'declare' oleh Rasulullah sebagai nikmat yang selalu dirugikan oleh KEBANYAKAN manusia. Nak ke kita masuk dalam kelompok 'KEBANYAKAN manusia' tu? Cuba refleks diri kita, kita ni termasuk dalam golongan yang rugi ni ke?

Kita selalu membazir masa tak? Hmmmmmmm

Dalam Surah Al-Asr, Allah berfirman:

وَالْعَصْرِ.
Demi masa.

إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ.
Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati (supaya mentaati) kebenaran dan nasihat menasihati (supaya menetapi) kesabaran.


Sekali lagi, dalam Quran. Allah cakap manusia ni dalam KERUGIAN. Nak ke kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi? Dalam ayat 3 tu, Allah dah bagi jalan untuk kita KELUAR daripada kelompok KERUGIAN. Macam mana? Dah jelas dalam ayat tu.

4 perkara:-
1) Beriman.
2) Beramal soleh.
3) Berpesan-pesan dengan kebenaran.
4) Berpesan-pesan dengan kesabaran.

Mudah kan? Tetapi ramai yang ENGGAN.

Rasulullah SAW bersabda: "Setiap umatku akan memasuki Syurga kecuali orang yang enggan." Kata mereka (para sahabat): "Ya Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu?" Jawab Rasulullah: "Sesiapa yang mentaatiku, ia masuk Syurga dan sesiapa yang menderhakai aku, maka sesungguhnya dialah yang enggan." (Sohih Bukhari)



Sama-sama muhasabah diri sendiri. Sekadar peringatan buat diri sendiri dan orang lain. Moga bermanfaat. :)

p/s: Jom baca ni :) The Concept of Time in the Quran

والله اعلم

Tuesday, February 14

Bahasa Language Lughoh

"Kindness is the language which the deaf can hear and the blind can see."
-Mark Twain-



بسم الله الرحمن الرحيم

Teringin nak kuasai banyak bahasa. Boleh fasih bercakap, boleh fahami makna secara mendalam.

Lagi-lagi bahasa Arab. Boleh faham betul2 Quran dan Hadis.

Lain-lain bahasa pun best jugak bila dapat kuasai kan?
English dan Jepun maybe?

Sultan Muhammad Al-Fateh pun kuasai banyak bahasa.

Time Dr Jumaah Amin beri ceramah khas tempoh minggu yang lepas pun,
dalam muqaddimah ceramahnya mengatakan yang dia teringin
sampaikan ceramahnya dalam bahasa Melayu.

Bahasa ni penting dalam komunikasi.
Dengan menguasai bahasa pun, kita boleh timba pelbagai ilmu juga.

Kata orang, nak cepat fasih, kena selalu 'practice speaking',
tak kisahlah bahasa apa pun.

Jadi, marilah sama-sama kita tekun dalam menguasai bahasa. :)

Saturday, February 11

Dunia akhir zaman



Fasa ke-4. Kiamat sudah dekat! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar2 taqwa! Dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan Islam!

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. [Ali Imran, 3: 102]

Thursday, February 9

2 hari je lagi nak hidup

Apa panduan tu?


بسم الله الرحمن الرحيم

InsyaAllah, post kali ini, aku terasa ingin berkongsi sedikit pengalaman pada hari ini. Sebelum tu, apa panduan yang dimaksudkan didalam gambar diatas? Agak-agaknya apa?

Mafhum Hadis: " Aku tinggalkan 2 perkara yang jika kamu berpegang teguh kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Al Quran dan sunnahku. "

Itulah dia (panduan), Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Jadi straight to the point. Tadi jiran aku menanyakan padaku satu soalan. Soalan yang mungkin nampak ringkas pada sesetengah orang, mungkin terasa berat pada sesetengah yang lain.

Dia bertanya: "Kalau kita ada 2 hari je lagi nak hidup, apa yang kita nak 'beri' pada orang supaya orang lain dapat manfaat, kita pun dapat manfaat?"

Perumpaan juga diberi: "Andai kata doktor kata penyakit kita lagi 2 hari je boleh survive, apa yang kita nak 'beri' pada anak kita?

Aku terkesima seketika. Aku seakan-akan 'speechless' pada waktu itu.

Jadi apa yang jiran aku jawab? "Kita ajar dan kongsikan serta tadabbur surah Al-Fatihah kepada anak kita, yang mana surah Al-Fatihah itu sendiri merupakan ringkasan pada Al-Quran kan? Tekankan Al-Quran dan Sunnah tu sebagai panduan hidup."

Aku bermonolog "betul."

Aku bermonolog lagi "tu kalau 2 hari, kalau lebih singkat daripada tu?"

Kemudian aku sambung, "tu lah lagipun Rasulullah dah cakap 3 perkara/amalan yang tidak terputus setelah kita mati antaranya ialah 'ilmu yang bermanfaat."

Jadi sebenarnya bukanlah kita 'beri' kehendak mereka. Tetapi kita 'beri' keperluan mereka. Mereka PERLUkan ISLAM. Rasulullah pun selalu cakap "اسلم تسلم aslim, taslam." ("Islamlah kamu, nescaya kamu akan selamat sejahtera.")

Setakat tu je kot, moga perkongsian ini bermanfaat. Ambillah ibrah (pengajaran).

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

"...Dan Kami turunkan kepadamu Al Qur'an, agar kamu menerangkan pada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan," [An-Nahl, 16: 44]

والله اعلم

Wednesday, February 8

Speech and Silence




عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْراً أًوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاْليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ
كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Dari Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam, siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghormati tetangganya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tuesday, February 7

Yayasan Basmi Kemiskinan

Asrama Kasih Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK)

بسم الله الرحمن الرحيم

Pada 3 dan 4 Feb lepas, aku dan beberapa orang sahabatku jadi fasi untuk Program Penghayatan Jati Diri. Pada mulanya, informasi yang kami dapat, program ni merupakan program anak yatim.

Pesertanya berjumlah seramai lebih kurang 180 orang yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Terkejut jugak, kebanyakan daripada kami menyangkakan bahawa peserta ialah pelajar sekolah rendah hehe.

Selain jadi fasi, kami juga ditugaskan untuk menjadi 'muwajih' slot. jadi setelah 2 hari bertungkus lumus sebelum program, menyiapkan apa yang patut.

Pada 3 Feb, lepas Asar kami diminta untuk berkumpul di tangga besar UIA. Aku gerak ke tangga besar UIA dengan Amin (he's driving). Sampai sana jumpa 'Ammar dan Nabil tengah duduk2.

Tak lama kemudian Anas dan Hariz (Atok) datang. Time ni tak cakap banyak sangat dengan Hariz, hehe warm up pun macam tak lagi, Anas ada lah jugak borak2.

Van dijangka sampai lepas Asar sepatutnya. Namun, disebabkan traffic jam dan pada waktu tersebut hujan, van ditakdirkan untuk sampai lambat. Dekat2 maghrib tu baru van sampai. Dekat2 maghrib tu jugak, Falah baru sampai haha.

Kami pun bertolak daripada tangga besar UIA tu menuju ke destinasi (Asrama Kasih YBK, Kg Seri Serendah). Dalam van baru lah dapat berborak sikit-sikit dengan Hariz. Peramah sebenarnya Atok ni.

Dalam van jugak, Falah terlena, mungkin penat bekerja kot, almaklumlah lepas kerja je, terus kena gerak tangga besar UIA.

Perjalanan mengambil masa agak lama kerana traffic jam. Sampai disana, kami solat berjemaah dan makan malam.

Kami dilayan baik oleh Ketua Pengawas Asrama iaitu Shafiq. Apa yang kami kagum, tahap kebersihan disana memang 5 star la! Sangat super-duper bersih!

Time makan malam Atok banyak cakap, hehe rupa-rupanya Atok ni orang yang kelakar.

Waktu makan malam, memang tak selera langsung, mungkin sebab nervous sangat? Time tu memang aku ambil nasi sangat sedikit, tapi sangat2 susah untuk dihabiskan.

Lepas makan malam, tibalah masa yang 'ditunggu-tunggu'. Masa untuk slot pertama. Slot Hakikat Perjalanan Hidup Manusia. Slot perkongsian ini disampaikan oleh first-timer Isyraf.

Tujuan hidup manusia ditekankan dalam perkongsian ini. Alhamdulillah, moga apa yang aku kongsikan dapat dimanfaatkan oleh semua :)

Selepas selesai, peserta dibahagikan kumpulan mengikut nombor untuk 7 orang fasi. Tiba masa bersama kumpulan! :D Memang seronok bertaaruf dengan mereka. No fon mereka pun dah ambil.

Kumpulan 6 :)

Rupa-rupanya, mereka semua ada macam2 background, ada yang datang dari keluarga miskin, ada yang datang dari keluarga yang bercerai, dan ada juga anak yatim. Sekolah tu pun memang ketat kemasukannya, antara syarat nak masuk situ, pelajar mestilah memenuhi kriteria background tersebut.

Selesai sesi taaruf semua, peserta putera puteri (kat sana memang guna istilah 'putera' dan 'puteri') dilepaskan untuk tidur.

Kemudian para fasi adakan meeting sekejap untuk Kak Rokiah briefing aktiviti pada esok hari (4 Feb). Anas masih setia dengan DSLR-nya.

Jadi sebenarnya, mereka bukan terus tidur pun, tetapi ada yang mandi dulu, ada yang basuh baju dulu, ada yang sempat lagi main dota. Kami pun buat keputusan untuk bersama dengan adik-adik pagi-pagi buta tu. Bermu'ayashah dengan mereka.

-------------------------------------------Tidur-----------------------------------------------

Kami bangun lebih kurang dekat2 pukul 5. Bila keluar dari bilik, tengok2 putera semua dah siap berpakaian bersih, dah siap mandi dah pun. Memang banyak yang kami belajar daripada peserta.

Jadi kami terus ke surau untuk qiyam. Qiyam diimamkan oleh akhi Hariz. Alhamdulillah, kami berkesempatan untuk mendidik putera puteri untuk qiyam.

Qiyam, solat subuh.

Then ada games. Ada 3 games yang kami jalankan. Dalam tiga-tiga games tu, putera kumpulan aku, Kamil menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang mantap! Aku kagum tengok dia.

Lepas tu, sesi bersama kumpulan, fasi2 berkongsi ilmu dan tahsin bacaan solat, cara ambil wudhu', cara solat dan apa-apa yang berkaitan. Kemudian kami solat dhuha.

Kemudian sampai slot 2 iaitu Jejak Sang Junjungan (Rasulullah) yang disampaikan oleh akhi Nabil dan akhi Hariz.

Aspek kecintaan kepada Rasulullah dan pengorbanan Rasulullah ditekankan. Berkaca mata ni dibuatnya.

Setelah itu rehat, pada waktu rehat itu, aku bermu'ayashah dengan 3 orang putera tingkatan 1. Aku taaruf dan tanya macam2 pada mereka, mereka pun berbuat yang sama pada aku.

Salah seorang daripada mereka, Omar menyatakan isi hatinya. "Saya tak suka sekolah dekat sini, saya pun memang tak suka belajar, saya tak suka duduk asrama." Aku tersenyum :), dan berbual lebih panjang dengannya.

Selesai rehat, sebelum pergi ke slot 3 iaitu Zero to Hero. Mereka menyanyikan lagu tema terlebih dahulu, iaitu HambaMU (lagu Imam Muda). Putera puteri ni minat sangat nak nyanyi lagu tu, hehe takyah suruh pun automatik dah nyanyi.

Slot Zero to Hero disampaikan oleh akhi 'Ammar. Aspek positif dan perubahan kearah positif ditekankan. Jom jadi orang yang BARU :)

Makan tengahari dan solat zohor.

LDK pada petang itu. Putera puteri ditugaskan untuk membuat persembahan. "Apa yang kami dapat daripada program ini?". Jadi masing-masing pun berbincang dalam kumpulan bersama fasi masing2.

Persembahan-persembahan mereka majoritinya berbentuk macam 'presentation' biasa. Apa yang menarik adalah persembahan yang berbentuk lakonan. Alhamdulillah, moga apa yang mereka faham itu, mereka amalkan.

Selepas persembahan sesi fotografi untuk PUTERA! (jurugambarnya Anas)

Minum petang dan solat Asar.

Majlis penutup, fasi memilih Ahmad (salah seorang daripada putera) untuk menjadi MC, Ahmad ni memang special orangnya. Ahmad juga seorang yang sangat kelakar dan peramah hehe.

Ucapan pengetua sekolah, ucapan ketua fasi. Ketua fasi tidak bercakap panjang, hanya menyampaikan 3 perkara. Terima kasih, mohon maaf, nasihat terakhir.

Acara penyampaian hadiah kepada kumpulan putera dan puteri terbaik. Akhirnya sesi bersalaman dan berpelukan. Macam-macam jenis pesanan aku bagi pada lain-lain orang.

Bila sampai turn Omar, aku pesan belajar rajin2, kena redha sekolah dekat sini, ada sebab dan hikmahnya :)

Juga aku doakan supaya Kamil menjadi pemimpin Islam yang hebat pada suatu hari nanti.

Sebelum balik, sempat lagi adik-adik putera mintak nombor telefon aku.

Kami balik dengan menaiki van yang sama. Dalam van, bertukar-tukar cerita dan pendapat. Paling banyak 'cakap' Hariz dan Falah. kehkeh. Sampai masjid UIA dekat-dekat pukul 8. Terus tunaikan maghrib berjemaah.

Aku pulang dengan Amin. Rumah dekat la katakan, home sweet home.

Fuh! Sudah rindu semua! rindu suasana di sana! rindu nak bermu'ayashah dengan mereka! rindu nak berkongsi dengan mereka! rindu nak Qiyam sama2!

Aku berhasrat nak jumpa mereka lagi. InsyaAllah.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوباً وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. [Al-Hujurat, 49: 13]

Kenapa hafaz Quran?




Abang Amir : Boleh abang tanya satu soalan tak dekat adik-adik?

Semua : ...

Abang Amir : Kenapa adik-adik hafaz Quran? Apa first niat yang adik setting sebelum awal2 hafaz Quran dulu.

Iqbal : Erm, kejap fikir dulu.

Abang Amir : Baru nak fikir? So awal2 dulu takde setting niat ke?

Firdaus : Sebab mak ayah suruh.

Idris : Untuk berdakwah.

Johan : ...

Abang Amir : Ni pun sama?

Harun : Nanti boleh jadi ustaz.

Abang Amir : Ok, so masing-masing ada niat masing2, jadi apa sebenarnya tujuan kita nak hafaz Quran ni? 'Hafaz' ni maksudnya apa?

Irsyad : Maksudnya 'jaga'

Abang Amir : Ulang balik Iman.

Iman : Hmm...tak tau la.

Abang Amir : Irsyad cuba ulang balik apa kamu jawab tadi.

Irsyad : 'Jaga'

Abang Amir : Semua dengar kan apa Irsyad cakap tadi? So hafaz Quran ni sebenarnya kita menjaga Quran. Kita akan berusaha untuk menghafal dan mengingat Quran serta mengamalkannya. Apabila kita tahu tujuan kita, kita akan serius dalam menghafaz Quran. Jadi sebenarnya kita menghafaz Quran tak lain tak bukan untuk menjadikan Quran sebagai pedoman dan panduan hidup kita. Kita hafaz Quran untuk jaga diri kita, keluarga kita, kawan-kawan kita, dan orang-orang di sekeliling kita.

Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." [At-Tahrim, 66: 6]

Wallahua'lam.

Azam tahun baru


Alhamdulillah, azam pertama tahun baru telah aku tunaikan dengan izin Allah. Syukur syukur syukur. =')

Jadi lepas ni kena istiqamah untuk realisasikan azam kedua =')

Payah sebenarnya nak realisasikan azam pertama tu. Banyak cabaran dan dugaan.

Pertempuran dengan nafsu juga tak terkecuali. Mujahadah linafsih.

InsyaAllah, doakan diri ini terus istiqamah dan thabat.

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ

p/s: hanya post pendek :)

Sunday, February 5

Ya Rasulullah


Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulullah Ya Habiballah
Tak pernah kutatap wajahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu padamu
Allahumma Solli Ala Muhammad
Ya Rabbi Solli Alaihi Wasallim ( 2X )

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kudakap dirimu
Tiada kata yang dapat aku ucapkan
Hanya tuhan saja yang tahu

Kutahu cintamu kepada umat
Umati kutahu bimbangnya kau tentang kami
Syafaatkan kami
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu

Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Terimalah kami sebagai umatmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kurniakanlah syafaatmu

Thursday, February 2

MATI itu PASTI



“Hendaklah kamu semua memperbanyakkan mengingati penghapus kelazatan, yakni mati.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاء أَجَلُهُمْ لاَ يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلاَ يَسْتَقْدِمُونَ
"Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya." [Al-A'raf, 7: 34]


كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati." [Ali Imran, 3: 185]


أَيْنَمَا تَكُونُواْ يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ
"Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh." [An-Nisaa', 4: 78]


قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ
"Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu,..."" [Al-Jumu'ah, 62: 8]

Wednesday, February 1

Mengejar Matlamat



Objective-oriented?

Hari ini, aku disedarkan 'kembali', tentang pentingnya niat dan matlamat. Pentingnya kefahaman dalam sesuatu perkara.

Selalu kena tanya pada diri, kenapa kita buat ini? kenapa kita buat itu? kenapa kita buat begini? kenapa kita buat begitu? Apa tujuan kita berbuat sedemikian?

Soalan-soalan seperti ini sepatutnya telah kita tanya pada diri sendiri dan telah kita jawab dengan 'kefahaman yang benar'.

Matlamat kita pun kena jelas! Jangan kita buat sesuatu perkara kerana 'ikut-ikut orang'.

Mungkin post kali ini lebih general, kerana aku mungkin tidak akan menceritakan 'kisah' tersebut.

Yang paling penting. Jelas, sudah terang lagi bersuluh. Matlamat hidup kita!

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku." [Az-Zariyat, 51: 56]

Wallahua'lam.